Latar Belakang Jabatan Mufti Johor

Pendahuluan

Institusi Mufti di Johor telah wujud iaitu seawal zaman Kesultanan Melayu Johor Riau. Dalam pentadbiran Johor Moden, Sahibus Samahah Mufti telah menjadi pegawai awam yang penting iaitu sebagai Penasihat Agama Islam dan Pegawai Istana kepada DYMM Sultan Johor.

Penglibatan Mufti dalam pentadbiran Kerajaan yang terawal yang telah dapat direkodkan ialah sebagai saksi kepada pemasyhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor pada 24 Rabiul Awal, 1313 Hijrah bersamaan 14 September 1895.

Penubuhan Jabatan Mufti Johor

Sebelum 1 Januari 2000 Jabatan Mufti Johor adalah sebahagian daripada bahagian-bahagian di Jabatan Agama Johor. Dengan lain perkataan, segala polisi, objektif dan hal ehwal pentadbiran dan kewangan serta pegawai dan kakitangan tertakluk kepada Jabatan Agama Johor. Pengarah Jabatan Agama Johor adalah sebagai Pegawai Pengawal dan Ketua Jabatan yang akan membuat ketentuan dan keputusan mengenai semua hal pentadbiran.­­

Mulai 1 Januari 2000, dengan persetujuan Kerajaan Negeri Johor, Bahagian Mufti telah berpisah dengan Jabatan Agama Johor dan dikenali sebagai Jabatan Mufti Johor yang mana Sahibus Samahah Mufti adalah sebagai Pegawai Pengawal dan Ketua Jabatan.