Dato’ Haji Ahmad Awang

Mufti Kesepuluh (1981-1999)

Beliau dilahirkan pada 23 November 1920 / 11 Rabiul Awal 1339 di Mersing, Johor. Beliau mula berkhidmat di Jabatan Agama Johor pada bulan April 1956 dan bersara pada 31 November 1999. Tempoh perkhidmatan beliau lebih kurang 43 tahun manakala pendapat lain pula mengatakan beliau mula berkhidmat di Jabatan Agama Johor pada tahun 1981 dan tamat perkhidmatan pada 31 November 1999 dan tempoh perkhidmatan beliau selama 18 tahun (1981-1999).

Beliau mendapat pendidikan agama sejak kanak-kanak oleh kedua ibu bapanya. Kemudian beliau telah dihantar oleh ibu bapanya ke Sekolah Melayu, Bandar Mersing pada tahun 1928 /1929. Oleh kerana beliau lebih cenderung untuk memilih bidang agama, beliau telah meneruskan pendidikan di Madrasah Arab Al-Attas pada tahun 1933-1939. Setelah tamat empat thanawi di madrasah tersebut, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir selama 4 tahun dalam bidang Syahadah Al-Aliyah (Kuliyah Syariah) peringkat sarjana muda (B.A). Kemudian beliau telah mendalami pengajian dalam bidang pengkhususan kehakiman (Shahadah Tahasus Qada’) sehingga Berjaya memperolehi Master (M.A) dalam bidang tersebut.  Selepas itu, beliau mengambil kursus Al-Qada’ Syar’ie selama 2 tahun dan kemudiaannya dikurniakan Al-Shahadah Al-Ijmak di universiti yang sama.

Pada tahun 1956, beliau dilantik sebagai pegawai dakwah di Jabatan Agama Johor. Bermula pada tahun 1958, beliau dilantik menjadi Kadi Daerah Segamat dan berkhidmat selama 2 tahun. Kemudian pada tahun 1961, beliau dilantik menjadi Kadi Daerah Kota Tinggi. Setelah itu dilantik menjadi Kadi Daerah Batu Pahat pada tahun 1964. Pada tahun 1967, beliau dilantik menjadi Kadi Daerah Johor Bahru. Beliau telah dilantik sebagai Pemangku Jawatan Kadi Besar Johor Bahru pada tahun 1974, iaitu setahun sebelum beliau bersara wajib pada tahun 1975. Akan tetapi pada tahun yang sama beliau telah ditugaskan untuk menyambung perkhidmatan bagi jawatan Kadi Besar Johor Bahru. Kemudiannya beliau dilantik sebagai Timbalan Mufti Johor pada tahun 1977.

Beliau dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Johor (S.P.M.J) oleh DYMM Sultan Johor yang membawa gelaran Dato’. Selain itu, beliau dianugerahkan beberapa pingat kerana lama dan baik dalam pekerjaan (P.L.P), Pingat Ibrahim Sultan (P.I.S), Bintang Sultan Ismail (B.S.I) dan Kesetiaan Mangku Negara (K.M.N) dan Pingat Negara (P.P.N). Pada tahun 1981, beliau telah diperkenankan oleh DYMM Sultan Johor untuk dilantik sebagai Mufti Johor ke-10. Beliau merupakan seorang alim dan mempunyai ilmu yang luas meliputi Fekah, Faraid, Ilmu Falak dan lain-lain. Dengan keterampilan beliau sebagai pakar rujuk dan tokoh ulama yang begitu disegani di negeri ini, beliau telah dikurniakan Darjah Kerabat yang Amat Dihormati (D.K). Beliau bersara pada tahun 1999 setelah bekhidmat selama lebih kurang 43 tahun (pendapat lain mengatakan 18 tahun) sebagai Mufti Negeri Johor. Setelah bersara beliau telah dilantik sebagai Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor pada 1 Disember 1999 sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah.