Dato’ Haji Nooh bin Gadot

Mufti Kesebelas (1999-2008)

Dato’ Haji Nooh Bin Gadot dilahirkan pada 12 Zulhijjah 1365 / 7 November 1946 di Segamat, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Pagoh, Segamat, Johor. Kemudian beliau mengambil Sijil Rendah Pelajaran Malaysia (SRP) di Maahad Johor. Beliau seterusnya mengambil pendidikan Sijil Menengah Pelajaran (SPM) di Sekolah Menengah Dato’ Jaafar Johor Bahru (Sekolah Malam).

Beliau kemudiannya menuntut ilmu pengajian di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor (Darjah Khas). Seterusnya beliau menuntut ilmu di Sekolah Menengah Arab di Segamat (Madrasah Al-Ibtidaiyah, Segamat Johor). Kemudian beliau menyambung pelajaran di Maahad Johor dengan mengambil sijil Thanawi. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, dalam Al-Ijazah Al-Aliyah (Sarjana Muda) Fakulti Feqah Syariah Al-Islamiyyah dan Wal-Qanun Fakulti Syariah Islam dan Undang-Undang (B.A). Beliau kemudiannya mengikuti beberapa kursus seperti kursus Pengurusan Fatwa Darul Ifta’, Kementerian Keadilan Mesir pada 23 Oktober 1994 sehingga 15 Julai 1995. Pada Tahun 1996, beliau mengikut Pengurusan dan Pentadbiran Wakaf, Perbadanan Wakaf Mesir. Kemudian beliau mengikuti kursus Khas Pegawai Perkhidmatan Agama di Muslim College London.

Setelah tamat pembelajaran, beliau berkhidmat sebagai guru Agama Kerajaan Negeri Johor pada 2 November 1967. Seterusnya beliau memegang jawatan sebagai Penolong Pemeriksa dan Pendaftaran sekolah-sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor pada 15 November 1978.

Pada tahun yang sama juga iaitu pada 3 Oktober 1978, beliau memangku jawatan sebagai Pegawai Hal-Ehwal Islam, Bahagian Hal-Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan sebagai Penolong Pengarah Indah (Institut Dakwah Islamiah Malaysia) serta sebagai Penolong Pengarah Urusetia Bahagian Pengurusan Majlis Kebangsaan Hal-Ehwal Islam Malaysia JPM. Pada 16 Ogos 1980, beliau menjadi Pendakwa Syarie (Kadi Litar) Mahkamah Syariah Negeri Johor (A22). Seterusnya beliau dilantik sebagai Pengelola Penerangan Agama, Jabatan Agama Johor (A22) pada 1 Ogos 1982.

Pada 5 Julai 1987 sehingga 22 Ogos 1987, beliau menanggung kerja jawatan Kadi Daerah Kota Tinggi. Pada tahun berikutnya 1 Januari 1988 sehingga 30 Jun 1988, beliau menanggung kerja jawatan Kadi Daerah Johor Bahru. Seterusnya, beliau menanggung kerja Amin Baitul Mal / Penolong Ketua Pengelola Zakat Fitrah pada 19 Jun 1989 sehingga 16 Ogos 1989. Pada 16 Mei 1990, beliau memangku jawatan sebagai Penolong Pengarah Kanan Dakwah (A12). Kemudian beliau menanggung kerja jawatan Kadi daerah Johor Bahru pada 5 Januari 1994 sehingga 22 Januari 1994. Pada tahun yang sama juga, iaitu 3 Mei 1994, beliau ditugaskan memangku jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Pendakwaan dan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Johor sehingga 1 April 1996. Beliau kemudiannya menjadi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Syarak (Kadi Besar) Gred S2 pada 2 Mei 1996 sehingga 1 Jun 1998 dan pada 9 Julai 1998, beliau menjadi Timbalan Mufti Negeri Johor. Pada tahun berikutnya beliau dilantik menjadi Mufti Negeri Johor sehingga tahun 2008.