Dato’ Haji Yahya bin Ahmad

Mufti Ketiga Belas (Nov 2018 – Kini)

Dato’ Haji Yahya Bin Ahmad dilahirkan pada 31 Julai 1967 di Simpang Renggam, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang kini dikenali sebagai UNISZA, Kuala Terengganu dalam bidang Diploma Pengajian Islam pada tahun 1988. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Ijazah Sarjana Muda (Pengajian Islam dan Bahasa Arab) sehingga tahun 1990. Kemudian mengikuti Diploma Undang-undang Kehakiman Syarie, Universiti Islam Antarabangsa sehingga tahun 1998 dan mengambil Sijil Pengurusan Fatwa di Universiti al-Azhar, Mesir sehingga tahun 2010.

Mengimbas perkembangan kerjayanya bermula sebagai Penolong Pengarah di Bahagian Penguatkuasaan di Johor Bahru pada tahun 1992 hingga 1994. Seterusnya, menjadi Kadi daerah Segamat pada tahun 1994 hingga 1996 diikuti menjadi Kadi daerah Johor Bahru pada tahun 1996 hingga 1998.

Kemudian menjadi Penolong Pengarah di Bahagian Dakwah pada tahun 1998 hingga 2000 diikuti menjadi Pegawai Tadbir Agama daerah Batu Pahat pada tahun 2000 hingga 2004. Beliau pernah dipinjamkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor sebagai Ketua Penolong Pengarah Zakat, Wakaf dan Baitulmal pada tahun 2004 hingga 2005. Kemudian menjadi Penolong Pengarah di Bahagian Undang-undang Syariah pada tahun 2005 hingga 2007. Pada tahun 2007 hingga 2011, beliau menjadi Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Dakwah, Johor Bahru dan seterusnya menjadi Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Undang-undang Syariah (Kadi Besar Johor) pada tahun 2011 lebih kurang dalam tempoh 10 bulan. Beliau telah dilantik menjadi Timbalan Mufti Johor pada tahun 2011 hingga November 2018. Pada 13 November 2018, permulaan bagi Dato’ Haji Yahya Bin Ahmad telah dilantik menjadi Mufti Negeri Johor sehingga kini.