Dato’ Syed Alwe Abdullah Al-Hadad

Mufti Kesembilan (1977-1981)

Beliau dilahirkan pada 23 Jun 1919 di Batu Pahat, Johor. Mendapat pendidikan asas agama sejak kanak-kanak daripada kedua ibu bapanya. Pada tahun 1927, beliau telah dihantar ke Sekolah Melayu Bandar Penggara, Batu Pahat. Di sini beliau belajar sehingga tamat pengajian pada tahun 1031. Oleh kerana beliau lebih cenderung untuk memilih bidang agama, beliau telah meneruskan pengajian di Madrasah al-Attas dari tahun 1933 hingga 1937. Setelah tamat di madrasah tersebut, beliau telah melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar, Mesir pada tahun 1936 sehingga tahun 1945. Seterusnya melanjutkan pelajaran dalam bidang Usuluddin di peringkat sarjana muda (B.A). Beliau kemudiannya telah mendalami pengajiannya sehingga berjaya memperolehi Master (M.A) dalam bidang Usuluddin.

Pada bulan Disember 1945, beliau pulang ke Malaysia dan pada tahun yang sama mula berkhidmat di Jabatan Agama Johor sebagai Kadi daerah Kluang iaitu pada tahun 1945 hingga 1949. Pada tahun 1949, beliau telah dilantik menjadi Kadi daerah Pontian. Kemudian pada tahun 1955 beliau telah dilantik menjadi Kadi daerah Muar. Seterusnya dilantik menjadi Kadi Mersing pada tahun 1962 danpada tahun 1968, sekali lagi beliau dilantik menjadi kadi Daerah Muar. Seterusnya dilantik sebagai Kadi Besar pada bulan Oktober 1969. Selepas itu beliau telah dilantik sebagai Timbalan Mufti Johor dalam bulan Mac 1970. Antara tugas beliau sebagai Timbalan Mufti ialah menolong kerja-kerja Mufti menjawab soalan fatwa, mengarang khutbah Jumaat dalam bahasa Melayu (sebelumnya dalam bahasa Arab), mengarang syarahan berkenaan awal tahun Hijrah, mengarag khutbah Hari Raya Aidilfitri dan Aidil Adha, mengarang syarahan Maulidur Rasul, mengarang syarahan Isra’ Mikraj, memberi syarahan agama di masjid-masjid, jami’ah-jami’ah, sekolah-sekolah dan seluruh Johor, setiap dua minggu sekali memberi ceramah di Radio Malaya Singapura berkenaan tafsir al-Quran selama setengah jam, menjadi pengerusi mengarang buku-buku agama yang diterbitkan sebulan sekali, menjadi pengarang majalah Warta Jabatan Agama Johor yang diterbitkan sebulan sekali, menjadi ahli jawatankuasa Maahad Larkin Johor (Maahad ad-Din Islami Johor), menjadi ahli jawatankuasa bagi Majlis Raja-Raja Melayu di Kuala Lumpur sebagai wakil Johor Bahru, menjadi ahli jawatankuasa menubuhkan Kolej Islam Malaya dan ditugaskan membuat kertas kerja penubuhan Kolej Islam pada tahun 1949 dan menjadi Ahli Lembaga Urusan Haji Malaya sebagai wakil Johor Bahru pada tahun 1953 hingga 1957.

Pada tahun 1977, beliau telah diperkenan oleh DYMM Sultan Johor untuk dilantik menjadi Mufti Johor bagi menggantikan Almarhum Dato’ Syed Alwe Bin Tahir al-Hadad. Beliau bersara pada 31 Disember 1981 setelah berkhidmat selama lebih kurang empat tahun. Beliau turut dianugerahkan beberapa pingat seperti Pingat Ibrahim Sultan (P.I.S), Setia Mahkota Johor (S.M.J) dan Datuk Paduka Mahkota Johor (D.M.P.J). Beliau juga turut dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) oleh DYMM Sultan Johor yang membawa gelaran ‘Datuk’. Beliau merupakan seorang yang alim dan mempunyai ilmu yang luas meliputi fekah, usuluddin dan lain-lainnya. [1] Antara sumbangan beliau ialah menjadi Pengerusi Pengadil Musabaqah membaca al-Quran Antarabangsa di Kuala Lumpur, menjadi wakil Pertubuhan-pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) dalam Mu’tamar Islam di Mughadisyu, Somalia, menjadi wakil pertubuhan kebajikan Islam Malaysiabagi menghadiri Mu’tamar Rabitah al-Alim al-Islami di Makkah juga terpilih menjadi ahli Majlis Ta’sis Lir Rabitah pada tahun 1965, menghadiri Mu’tamar al-Ma’hadu Islamiah Wal Jama’atul Jama’at al-Islamiah yang berpusat di Maghribi pada tahun 1970, dilantik menjadi ahli Majmu’ul Buhuth al-Islamiah Lil Azhar Sharif dengan anjuran Ustaz al-Akbar Dr. Abd. Halim Mahmood sebagai Syeikh al-Azhar dalam tahun 1974 dan munasabah perayaan menyambut seribu tahun al-Azhar Sharif dengan dikurniakan Wusamal Ulum Wal Funun Mina Thobakatul U’la oleh presiden Mesir iaitu Muhammad Husni Mubarak bertarikh 15 Mac 1983 kerana menghargai jasa beliau dalam bidang dakwah Islam.

Di samping itu, sumbangan beliau dalam aktiviti-aktiviti lain adalah menjadi anhli Majlis Kebangsaan Pertubuhan Islam (PERKIM) sejak tahun 1964 hingga akhir hayat, menjadi ahli al-Majlis al-Watani Li Shu’ur al-Islamiyah (Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sejak tahun 1970 hingga akhir hayat, menjadi Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Malaysia hingga akhir hayat beliau dengan mengkaji, menimbang dan memberi pendapat mengenai masalah agama yang dirujukkan oleh Majlis Raja-raja kepada Jawatankuasa Fatwa, menjadi Mudir Maktab Rabitat al-Alam Islamiyah di Kuala Lumpur sejak tahun 1979 hingga akhir hayat dan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pemerikasaan Maahad Tahfiz al-Quran hingga akhir hayat.

Beliau banyak melibatkan diri dalam masyarakat melaui syarahan dan ceramah di seluruh negeri Johor. Sepanjang dalam perkhidmatan beliau tidak pernah mengambil saguhati (wang) apabila beliau diundang memberi ceramah atau syarahan kepada masyarakat. Setelah bersara, beliau meneruskan dakwah kepada masyarakat. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada hari sabtu 19 Mac 1988 / 1 Syaaban 1408 dan dikebumikan di perkuburan Islam Kebun The, Johor Bahru. Beliau telah meninggalkan 11 orang anak (empat lelaki dan tujuh orang perempuan) serta 44 orang cucu.