Dato’ Syed Alwe Tahir Al-Hadad

Mufti Keempat (1934-1941) dan Mufti Keenam (1947-1961)

Dato’ Syed Alwe bin Tahir al-Hadad merupakan mufti keempat pada tahun 1934-1941 dan mufti keenam pada tahun 1947-1961. Beliau dilahirkan pada 7 Ogos 1884 / 8 Syawal 1301 di Qaidoon, Hadramaut. Beliau mula berkhidmat pada 8 Mac 1943M dan tamat perkidmatannya pada tahun 1961. Tempoh perkhidmatan beliau ialah lebih kurang 27 tahun. Gelaran ‘al-Hadad’ bermaksud ‘besi’ yang bersifat pengasah. Selain itu ‘al-Hadad’ bermaksud bersifat pengasuh dan pelembut hati. Ini bersesuaian dengan perwatakan beliau seorang mufti yang bersifat lemah lembut akan tetapi tegas dalam perkara-perkara berkaitan dengan agama. Beliau mendapat pendidikan sejak berusia kanak-kanak lagi oleh kedua ibubapanya. Sewaktu meniti alam remaja, beliau mendapat pendidikan dari guru-gurunya yang mashyur antaranya Syed Umar al-Mudi dan Syed Ahmad bin Hassan al-Attas. Sistem pendidikan yang dilalui beliau ialah melalui muzakarah atau perbincangan dengan gurunya berpandukan kitab-kitab yang dijalankan di masjid-masjid. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Fiqh, al-Quran, Hadis, Salasiah, Tauhid, Faraid, Bahasa Arab dan Penulisan.

Dato’ Syed Alwe bin Tahir al-Hadad telah menamatkan zaman bujang dalam usia 16 tahun dikalangan ahli keluarga beliau. Semasa berdakwah di Habsyah, beliau telah bertemu jodoh dengan gadis di sana. Pada tahun 1920 an, beliau berhijrah dari tempat kelahiran (Hadramaut) ke Bogor, Jawa. Apabila kembali ke Tanah Jawa, beliau telah bertemu jodoh dengan gadis berketurunan Raden. Sewaktu menjejakkan kaki ke Johor Bahru bagi menyandang jawatan Mufti Johor pada tahun 1934, beliau telah membawa bersamanya seorang isteri dan lima orang anak. Pada 8 Mac 1934, beliau dilantik sebagai Pemangku Mufti (percubaan setahun) oleh Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibnu Almarhum  Sir Abu Bakar. Manakala pada 8 Mac 1935, beliau dilantik sebagai Mufti Negeri Johor selama 6 tahun. Dato’ Syed Alwe bin Tahir al-Hadad meninggalkan jawatan Mufti kerana lari daripada ancaman Jepun. Beliau telah mebawa diri dan keluarga ke Batu Pahat.

Di Johor Bahru, kerajaan tidak dapat mengesaan kedudukannya lalu jawatan Mufti diambil alih oleh Datuk Haji Hassan Bin Yunus. Pada tahun 1945, Datuk Haji Hassan Bin Yunus meletak jawatan dan memasuki arena politik. Pada 13 Mac 1948, Dato’ Syed Alwe bin Tahir al-Hadad dilantik semula sebagai Mufti Johor sehingga tahun 1951 iaitu selama tiga tahun. Kemudian Almarhum Sir Ibrahim menyambung lagi perkhidmatan Dato’ Syed Alwe bin Tahir al-Hadad sebagai Mufti sehingga tahun1961 iaitu selama sepuluh tahun.

Selain menjadi Mufti Johor beliau banyak mencurahkan bakti dalam bidang penulisan. Beliau telah mengarang kitab Al-Qaul al- Faslu’ pada tahun 1920 an ketika berusia 52 tahun. Beliau juga telah mengarang majalah Al-Rabitah al-Alawiyyah ketika berada di Bogor, Jawa. Penulisan beliau ketika berada di Tanah Melayu (menyandang jawatan Mufti) adalah pengarang kepada Lembaga Malaya dan Warta Ahad iaitu pada tahun 1930 an, mengarang kitab Ahkam Syariah Johor pada tahun 1935, mengarang kitab Anwar al-Quran pada tahun 1956 dan banyak juga menghasilkan banyak kitab terutamanya dalam bidang sejarah.

Dato’ Syed Alwe bin Tahir al-Hadad banyak mengeluarkan fatwa-fatwa yang terkenal dan menjadi panduan masyarakat Islam di Johor khususnya di seluruh Tanah Melayu dan Asia Tenggara amnya. Peranannya yang besar dalam membanteras ajaran-ajaran sesat seperti Qadiani, Bahai, Taslim, Kaum Muda dan lain-lain. Mengikut Dato’ Syed Alwe bin Tahir al-Hadad ajaran sesat digolongkan kepada ajaran yang pada hakikatnya tidak berdasarkan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah, ajaran yang diselewengkan dari pengertian al-Quran dan as-Sunnah dan ajaran yang wujud dari kesilapan memahami makssud al-Quran dan as-Sunnah.

Dato’ Syed Alwe bin Tahir al-Hadad dalam memerangi ajaran sesat adalah amat ketara dan jelas kesungguhannya. Ia bermula dari menjadi pemimpin Rabitah Alawiyyah di Bagor, Indonesia. Pada ketika itu, ajaran yang paling berpengaruh ialah ajaran Qadiani. Langkah-langkah untuk menyedarkan masyarakat tentang bahayanya Qadiani ialah dengan menjawab persoalan Qadiani di dalam kitabnya, ‘ Anwar al-Quran al-Mahiyah Lizulma Mujtanabi Qadiani’ . Beliau menggelar ajaran Qadiani sebagai ‘Nasrani Baru’ apabila beliau berpindah ke Johor Bahru untuk menjawat jawatan sebagai Mufti. Oleh keraana ajaran Qadiani masih awal dan pertentangan juga dilakukan diperingkat akar umbinya dengan menumpukan usaha-usaha beliau kepada peperangan dalam bentuk tulisan dalam makalah-makalah dengan mengharamkan kemasukan kitab-kitab dan media cetak ajaran sesat, mengharamkan kitab Qadiani bertajuk Kebenaran yang ditulis oleh Mihamid Sadiq dan mengharamkan kitab penganut ajaran Kaum Muda karangan Hassan Ahmad Bandung yang bertajuk Soal Jawab yang mana antara isi kandungannya ialah boleh menyentuh al-Quran tanpa mengambil wuduk dan sembahyang yang ditinggalkan tidak perlu diqada’. Dato’ Syed Alwe bin Tahir al-Hadad juga mengarahkan kadi-kadi yang dilantik di setiap daerah untuk membanteras ajaran sesat di daerah masing-masing. Contohnya, ajaran Taslim yang dibawa oleh Kang Mat Ihsan dan Haji Jusoh yang berpusat di Kampung Tasek, Segamat yang mana tugas membanterasnya adalah kadi daerah Segamat.

Kesungguhan beliau dalam menangani ajaran sesat jelas kelihatan melalui fatwa yang dikeluarkan. Beliau juga turut mendapat fatwa dari ulama’ lain. Antara fatwanya kepada ajaran Taslim ialah : ‘Ajaran sesat ini menyalahi agama Islam dan maruahnya, iaitu diambil dari agama Majusi dan Batiniah. Seorang lelaki boleh bersetubuh dengan isteri orang lain, guru-guru boleh bertukar isteri dengan murid-muridnya bila dikehendaki. Perbuatan semacam ini diperbuat oleh orang-orang Majusi di negeri Khazarat dan lainnya, iaitu perbuatan binatang dan syaaitan. Ringkasnya mereka adalah jemaah dari orang-orang Majusi’.

Perjuangan dan jasa beliau terhadap agama Islam khususnya di negeri Johor dan umumnya di Malaysia memang tidak dapat disangkal dan dipertikai. Beliau mempunyai semangat cintakan agama yang tebal dan tidak rela membiarkan agama Islam dikucar-kacirkan oleh golongan yang kononya ahli agama tetapi mengubahsuai agama Islam mengikut kehendak dan kepentingan peribadi. Adapun, tindakan dan penentangan beliau adalah melalui teori dan fatwa-fatwanya sahaja dengan diberikan ceramah dan penulisan beliau. Akan tetapi, dari segi pencegahan ianya adalah di bawah kuasa penguatkuasa Jabatan Agama Johor dan dengan bantuan pihak polis. Jika kita meneliti, beliau bukan sahaja seorang yang peka terhadap permasalahan agama tetapi juga seorang yang sangat pintar dalam menangani ajaran sesat dan sehingga kini banyak antara buku dan fatwa beliau digunakan dalam menangani ajaran tersebut. Pada tahun 1961, beliau menamatkan perkhidmatan sebagai Mufti Johor ketika berusia 77 tahun kerana masalah kesihatan. Beliau kembali ke rahmatullah pada 14 November 1962 dan dikebumikan di tanah perkuburan Mahmodiah, Johor Bahru.